Tuesday, December 16, 2008

Perkembangan Fizikal

Perkembangan fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia.[1] Semasa pembesaran kanak-kanak akan mengalami perubahan dalam ketinggian, berat badan, menjadi lebih kuat dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang lebih kompleks.

Perubahan-perubahan ini mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak secara langsung dan tidak langsung (Hurlock, 1978). Secara langsung, perkembangan fizikal menentukan kebolehan kanak-kanak melakukan sesuatu, misalnya keupayaan mereka bersaing dengan rakan sebaya dalam sukan atau permainan.

Walaupun bentuk dan saiz tubuh manusia adalah lebih banyak disebabkan oleh pengaruh-pengaruh bukan kebakaan seperti pemakanan, iklim, senaman dan juga pekerjaan, baka merupakan satu faktor yang mempengaruhi perkembangan aspek fizikal seseorang itu. Biasanya anak-anak daripada ibu bapa yang besar badan adalah lebih tinggi dan lebih berat daripada anak-anak ibu bapa yang kecil. Warna kulit, warna mata dan warna rambut juga dipengaruhi oleh trait fenotaip. Umur panjang atau pendeknya juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran, tetapi pengaruh baka juga memainkan peranan penting.

Kajian mendapati kanak-kanak yang kembar seiras mempunyai persamaan dalam tahap aktiviti, emosi dan kebolehsesuaian berbanding dengan kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak kembar lain uri. Kajian ini membuktikan baka mempunyai pengaruh yang besar ke atas pertumbuhan dan perkembangan individu.[2]



[1] Woolfolk & Margetts, 2007

[2] Buss dan Plomin (1985) dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004)

No comments: