Sunday, December 14, 2008

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERKEMBANGAN TAMADUN-TAMADUN UTAMA DUNIA

Bentuk muka bumi

Bentuk muka bumi pada masa itu kebanyakannya terdiri daripada tanah lanar yang rata dan mempunyai tanih yang subur yang amat sesuai untuk pertumbuhan. Penduduk-penduduk prasejarah hidup semata-mata bergantung kepada keadaan alam sekitar. Oleh itu, bentuk muka bumi yang strategik dan terdiri daripada tanih yang subur telah banyak membantu mereka menghasilkan makanan daripada sumber alam dan kemudian berkembang sehingga mereka mengetahui cara bercucuk tanam yang dapat menghasilkan makanan untuk sara diri dan kemudian berkembang ke arah bertamadun. Penghasilan makanan yang banyak dalam sesuatu tempat tertentu telah menyebabkan pertambahan penduduk dan menyebabkan tempat itu berkembang menjadi sebuah bandar kecil. Sebagai contoh, tanah loes di Lembah Hwang-Ho dan tanah lanar di Lembah Sungai Nil yang amat subur untuk menjalankan kegiatan pertanian telah berkembang menjadi perkampungan yang kecil.


Lembah sungai

Sungai adalah salah satu faktor yang penting bagi kemunculan tamadun awal. Orang pra sejarah biasanya bertumpu di kawasan yang berhampiran dengan sungai yang mempunyai sumber perairan yang baik. Hal ini adalah kerana kehidupan seharian manusia sejak awal lagi tidak dapat berpisah dengan air. Oleh itu, kawasan tepi sungai telah menjadi tumpuan penduduk pra sejarah awal. Sungai menyediakan air untuk tanaman khususnya kepada mereka yang mengetahui cara bercucuk tanam. Sungai juga menjadi sumber makanan yang utama kerana di dalam sungai terdapat habitat ikan dan mereka dapat menjalankan kegiatan penangkapan ikan di situ. Sungai juga menjadi alat perhubungan bagi penduduk pra sejarah dengan menggunakan perahu yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang berongga untuk dijadikan sebagai pengangkutan air dan mereka yang mengamalkan sistem barter dapat berhubung antara satu sama lain untuk menjalankan aktiviti pertukaran barang.


Iklim

Satu lagi faktor kemunculan tamadun awal ialah dengan mempunyai iklim yang sesuai. Dengan adanya iklim yang sesuai, alam sekitar dapat menghasilkan sumber makanan khususnya pertumbuhan tumbuhan. Iklim yang sesuai menggalakkan tumbuhan dapat bertumbuh dengan subur dan haiwan juga dapat melakukan pembiakan dalam keadaan yang baik. Dengan itu, habitat haiwan tidak akan menjadi pupus dan manusia dapat memperolehi sumber makanan yang banyak daripada binatang dan tumbuhan liar. Tamadun awal bermula di kawasan iklim yang berhawa sederhana, contohnya seperti di Asia Barat yang beriklim kering telah menyebabkan hutan terbakar dan tidak dapat bertamadun dan kehidupan angin kering di Mesir telah menyebabkan tumbuhan bertumbuh dengan cepat.


Pertambahan penduduk

Perkembangan tamadun awal manusia merupakan satu proses yang berlaku secara beransur-ansur. Pada peringkat awal, manusia hidup dalam kumpulan-kumpulan kecil dan menjalankan aktiviti memburu dan mengumpul makanan. Manusia semakin bertamadun apabila mereka hidup dalam kumpulan besar dan penempatan tetap serta menjalankan pelbagai kegiatan seperti bercucuk tanam, menternak, membuat alat-alat senjata dan sebagainya. Kemajuan tamadun berterusan apabila penempatan mereka mengalami proses urbanisasi dan berkembang menjadi negara kota yang diperintah oleh seseorang ketua dengan sistem pentadbiran dan perundangan yang tersusun serta sistem sosial yang teratur. Dengan pertambahan penduduk yang pesat wujud sebuah masyarakat yang lebih dinamik atau berdaya maju. Penduduk-penduduk dapat melahirkan idea-idea dan ciptaan baru dengan menggunakan roda ceper untuk menghasilkan tembikar dengan lebih bermutu dan cepat. Mereka mula mengamalkan pengkhususan kerja dengan menunjukkan kemahiran dalam menenun kain daripada bulu binatang dan gentian tumbuh-tumbuhan dengan menggunakan alat tenunan. Mereka juga pandai menganyam bakul dan membuat barang-barang tembikar.


Kemajuan perlindungan

Menurut ahli-ahli sejarah tamadun manusia yang terawal muncul di lembah-lembah sungai kerana ia merupakan tempat yang paling sesuai untuk dijadikan kawasan petempatan. Kedudukan lembah-lembah sungai yang dikelilingi oleh laut dan kawasan tinggi menjadikan ia selamat kerana kawasan-kawasan tersebut boleh mengurangkan kemungkinan serangan musuh dari luar. Empat tamadun terawal yang wujud di lembah-lembah sungai ialah Tamadun Mesopotamia di Sungai Tigris-Eupharates, Tamadun Mesir di Lembah Sungai Nil, Tamadun Indus di Lembah Sungai Indus dan Tamadun Hwang-Ho di Lembah Sungai Kuning. Tamadun-tamadun ini bermula sebagai perkampungan kecil kemudian berkembang dengan pesat menjadi negara-negara kota yang lebih besar dan kompleks.


Kemajuan teknologi

Satu lagi faktor perkembangan tamadun awal ialah dengan adanya kemajuan teknologi seperti penciptaan roda, layar kapal, kain dan tembikar. Mereka pandai membuat barang-barang tembikar daripada tanah-tanih yang kering. Alat-alat tembikar digunakan untuk memasak, mengisi makanan dan menyimpan air. Mereka menggunakan roda ceper untuk menghasilkan tembikar dengan lebih bermutu dan cepat. Baka-baka baru tanaman yang dicipta membolehkan lebih banyak tanaman dihasilkan. Kewujudan sistem pengairan yang maju turut membantu kegiatan pertanian dapat menghasilkan jasil yang berlipat ganda. Roda telah dicipta untuk mempercepatkan perjalanan dan memudahkan pergerakan. Di Sungai Hwang-Ho, tembok telah dibina untuk menghalang banjir.


Perkembangan agama dan kepercayaan

Agama dan kepercayaan merupakan satu ciri penting dalam pembentukan sesuatu tamadun. Ia adalah penting untuk mengatur tatacara hidup masyarakat dan juga bertindak sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan. Perkembangan agama dan kepercayaan kebanyakannya terpengaruh dengan kepercayaan animisme dan berdasarkan mimpi. Mereka mempercayai bahawa setiap benda mempunyai roh si mati agar tidak ditimpa malapetaka dan bencana alam seperti banjir, kemarau, gempa bumi dan sebagainya. Pemujaan unsur alam semesta telah menjadi satu amalan yang penting untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik. Kepercayaan yang sedemikian rupa telah menguatkan lagi penyembahan berhala untuk mendapatkan perlindungan.

No comments: