Menurut Crow dan Crow pula, perkembangan merupakan perubahan secara ‘kualitatif’ serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Menurut Karl E. Garrison pula, perkembangan terhasil daripada tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan, sama ada berbentuk struktur, kemahiran satu siri tingkah laku ataupun keseluruhan sahsiah, adalah mengikut beberapa aturan semula jadi dan sifat-sifat yang sejagat. Secara ringkas, perkembangan boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu dan yang dijangkakan.
D.S. Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur.
Menurut Atan Long pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Tambahan pula, perkembangan sentiasa berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma.
Proses perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.
1.1 Ciri-ciri Perkembangan Individu
Perkembangan mempunyai beberapa ciri-ciri yang boleh dilihat. Antara ciri-ciri perkembangan yang penting adalah seperti berikut:
· Ia merupakan satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkait antara perkembangan jasmani dengan pembelajaran.
· Perubahan-perubahan ini adalah dari segi jasmani, emosi, mental dan sosial. Ringkas kata, perubahan itu bersifat kualitatif.
· Perubahan-perubahan itu adalah dari segi fungsi.
· Proses perkembangan membawa perubahan ke arah sifat-sifat yang sejagat serta mengikut aturan semula jadi. Contohnya, seseorang kanak-kanak kecil berupaya meniarap sebelum merangkak, duduk sebelum berdiri dan berjalan sebelum berlari.
· Proses perkembangan berterusan sepanjang hayat seseorang individu
· Perubahan tingkah laku berlaku dalam keadaan yang berterusan dan menerusi peringkat-peringkat kematangan tertentu.
· Peringkat-peringkat perkembangan membawa perubahan yang menuju ke arah tertentu serta dijangkakan.
· Perkembangan dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran akan menolong perkembangan mencapai tahap yang maksimum.
1.2 Prinsip-prinsip Perkembangan
Berikut adalah prinsip-prinsip perkembangan;
· Ada arah tertentu yang dapat diramalkan:
- Arah dari kepala ke kaki (cephalocaudal)
- Arah dari tengah ke tepi (proximodistal)
· Susunannya adalah serupa bagi semua ahli: ada yang dahulu dan ada yang kemudian, tapi urutan tidak berubah. Contohnya: duduk sebelum berdiri atau berdiri sebelum berjalan.
· Daripada keadaan menyeluruh kepada keadaan tertentu iaitu mulanya umum kemudian khusus.
· Berlaku secara berterusan iaitu perkembangan berlaku dari detik masa fertilisasi ovum oleh sperma sehingga ke peringkat kematian.
· Berlaku mengikut kepantasan yang berbeza: walau berterusan tetapi beberapa aspek perkembangan pada satu organisma mungkin berbeza.
· Perkembangan satu bahagian saling berhubung dengan bahagian yang lain iaitu wujud pertalian yang nyata antara kematangan jasmani dan kematangan mental.
· Corak perkembangan berbeza-beza kerana tidak semua kanak-kanak mencapai titik perkembangan yang sama pada umur yang sama.
· Perkembangan berlaku mengikut peringkat iaitu peringkat belum lahir, bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya.
Proses perkembangan berlaku dalam keadaan yang saling berkait dan meliputi perubahan dari segi bentuk tubuh dan tingkah laku. Perubahan-perubahan tersebut melibatkan perubahan jasmani, emosi, mental dan sosial dari segi kuantiti serta kualiti. Keseluruhan proses perubahan tersebut adalah proses penyuburan. Oleh itu, proses penyuburan merangkumi pertumbuhan dan perkembangan.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangkitkan kebijaksanaan di dalam diri anak-anak dengan mendidiknya secara holistik dalam cara-cara seperti:
- Memberikan makanan berkhasiat yang berkualiti;
- Mewujudkan peluang dan ruang untuk perkembangan fizikal;
- Memberikan panduan dan rangsangan yang sesuai untuk perkembangan kognitif;
- Memberi galakan dan empati bagi melengkapkannya secara emosi dan sosial.
1.3 Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget
Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.
Untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai proses ini, Piaget memperkenalkan 4 konsep utama:
- Skema (Schema)
- Penyerapan (Assimilation)
- Pengubahsuaian (Accomodation) dan
- Keseimbangan (Equilibrium)
Skema adalah struktur kognitif atau mental yang membolehkan individu mengurus dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.
Skema adalah seperti sebuah kabinet yang menyimpan banyak fail dan setiap fail mewakili satu skema. Apabila seorang bayi dilahirkan ia mempunyai skema umum dan semakin bayi itu membesar skema yang diperoleh semakin meningkat dan skema itu semakin diperhalusi.
Skema adalah proses mencipta, memperhalus, membuat perubahan, menyusun dan mengurus. Apabila seorang bayi dilahirkan, skema sedia ada pada bayi itu ialah menghisap susu dan menggenggam. Apa sahaja benda yang dimasukkan ke mulutnya akan dihisapnya. Seperti puting susu atau jari tangan. Bayi berkenaan masih belum dapat membezakan yang mana satu akan mengeluarkan susu atau sebaliknya, kerana hanya ada satu sahaja skema iaitu menghisap.
Asimilasi merupakan proses kognitif di mana seseorang menyatukan maklumat-maklumat baru atau pengalaman-pengalaman baru ke dalam skema yang sedia ada, iaitu penyerapan (fitting) maklumat baru ke dalam struktur sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa melalui pelbagai maklumat dan pengalaman. Keadaan ini boleh disamakan dengan sebuah belon yang semakin membesar apabila ditiupkan angin ke dalamnya. Oleh itu, perubahan yang berlaku adalah secara kuantitatif atau bukan kualitatif.
Akomodasi atau penyesuaian diri dan menghasilkan perubahan kualitatif serta perkembangan skema (development of schema). Jika maklumat yang diterima sesuai dengan skema yang ada, maka ia akan diserap ke dalam skema, sebaliknya jika maklumat itu tidak sesuai, maka maklumat itu akan ditolak atau diubah atau diubahsuai.
Oleh itu, proses penyesuaian diri berlaku apabila skema yang sedia ada diubah suai untuk digabungkan dengan maklumat-maklumat atau pengalaman-pengalaman baru. Peningkatan maklumat dan pengalaman ini meningkatkan tahap skema sedia ada. Proses ini berlaku secara berterusan sehingga seseorang itu mencapai tahap pemahaman yang stabil dan mantap bagi satu-satu kemahiran tertentu.
Keseimbangan akan tercapai apabila seseorang kanak-kanak menyeimbangkan proses penyerapan dan pengubahsuaian. Contohnya, apabila seseorang kanak-kanak menerima maklumat baru, ia akan menyerap maklumat itu ke dalam skemanya. Sekiranya ia berjaya proses keseimbangan akan tercapai. Sebaliknya, jika ia tidak dapat diserap, maka maklumat itu akan diubahsuai melalui pengubahsuaian skema atau mencipta skema yang baru. Jikalau maklumat baru itu dapat disesuaikan, maka tahap keseimbangan akan tercapai. Proses ini berlaku secara berterusan bermula dari bayi sehingga dewasa.
Dari kajian dan pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat mengikut perubahan umur mereka. Piaget membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat sensori motor, pra operasi, operasi konkrit dan operasi formal.
- Peringkat Sensori Motor (0 – 2 tahun)
Dalam peringkat ini, kanak-kanak mula menggunakan deria motornya untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya. Selepas dilahirkan selama dua bulan, seorang bayi sudah boleh membezakan objek-objek di dalam persekitarannya. Kanak-kanak kelihatan mula boleh belajar bahasa dan lambang yang mudah. Kanak-kanak cuba belajar koordinasi di antara deria motor dengan gerakannya serta cuba mengaitkan perkataan-perkataan dengan objek-objek yang dapat dilihat dalam persekitarannya.
- Peringkat Pra Operasi (2 – 7 tahun)
Kanak-kanak boleh menggunakan bahasa serta simbol untuk menggambarkan sesuatu konsep. Apabila mencapai umur 4 tahun, kanak-kanak telah boleh bertutur dengan fasih dan melalui bahasa yang dikuasainya itu, perkembangan kognitifnya kian menjadi pesat.
Mereka menganggap pengalaman dan pandangan orang lain adalah serupa dengannya. Mereka mula berupaya memberi sebab untuk menyokong kepercayaan mereka, boleh mengelaskan objek mengikut ciri tertentu dan memahami konsep keabadian bilangan.
- Peringkat Operasi Konkrit (7 – 12 tahun)
Kanak-kanak mula memperolehi konsep transformasi, menguasai proses kebalikan dan akhirnya mengamati proses songsangan. Di samping itu, kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu perkara pada satu masa. Kanak-kanak sudah boleh memikir secara induktif atau deduktif serta dapat menguasai konsep masa dan kelajuan.
Bagaimanapun, keupayaan berfikir secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja. Mereka masih tidak mempunyai kebolehan untuk berfikir secara abstrak. Oleh itu, mereka tidak dapat menyelesaikan masalah yang kompleks. Di dalam peringkat ini, kebanyakan aktiviti pembelajaran yang bererti masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.
- Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun)
Remaja telah boleh berfikir secara abstrak dan boleh menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Mereka juga boleh berfikir secara deduktif atau induktif, dan menggunakannya untuk membuktikan teorem atau hukum matematik serta membuat rumusan atau generalisasi daripada aktiviti-aktiviti matematik. Remaja juga boleh menggunakan simbol-simbol matematik untuk menggambarkan konsep yang abstrak, mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain serta menggunakan logik untuk menyelesaikan masalah matematik.
5 comments:
salam..
hye indah..thnx 4 tis info ya...
i really need this info..
thanks coz post it..
thanz for this sharing..
smoge dikurniakan ilmu y berlipat kali ganda..
time kasih byk2~
thank u admin...info yg brguna sgt2...halal kan sya mngambilnya ya...hehhe...trimas bnyk2. ^_^
salam...
tq 4 this post...
halalkan sya ambik info neh k! ^-^
Post a Comment