Tuesday, December 16, 2008

Implikasi Perkembangan Fizikal dan Kognitif

Faktor-faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi perkembangan manusia melahirkan pelajar yang berbeza dari segi jasmani, intelek, emosi dan sosial di antara satu dengan yang lain. Ini bermakna, setiap pelajar di dalam bilik darjah adalah unik dan berbeza di antara satu sama lain. Oleh itu, guru harus merancang aktiviti pengajaran-pembelajaran mengikut kebolehan pelajar. Sehubungan ini, guru harus menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti aktiviti kumpulan, pemulihan, pengayaan dan sebagainya, untuk melayan pelajar yang berbeza dari segi jasmani, intelek, emosi dan sosialnya.

Mengikut kajian pakar-pakar pendidik, kanak-kanak pada keseluruhannya mempunyai daya intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa dengan sepenuhnya. Mereka kurang mampu membuat kesimpulan dan kurang menghadapi masalah dalam aktiviti pembelajaran mereka. Untuk membantu murid-murid ini mengatasi masalah pembelajaran mereka, program pemulihan merupakan satu-satunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.

Seperti mana yang telah dihuraikan, murid-murid di dalam sesebuah kelas berbeza dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi, pengalaman, minat, bakat dan sebagainya. Oleh yang demikian, kadar keupayaan mereka belajar juga berbeza. Di dalam sesebuah kelas yang mengandungi ramai murid, perbezaan-perbezaan ini sememangnya tidak dapat diberi perhatian dan dilayani oleh guru secara penuhnya. Tambahan pula, untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang begitu berat, guru terpaksa menggunakan kaedah seluruh kelas dalam aktiviti pengajaran mereka. Dalam keadaan ini, murid-murid yang mempunyai kebolehan belajar yang rendah tentu tidak boleh menerima apa yang diajarkan oleh guru. Akibatnya, murid-murid ini ketinggalan di belakang kerana tidak dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas yang ditentukan. Dalam situasi ini, program pemulihan hendaklah disediakan untuk mereka dengan serta-merta supaya masalah-masalah pembelajaran tidak berhimpun hingga ke peringkat yang tidak dapat dipulihkan lagi.

Murid-murid yang lemah dalam pelajaran mereka memang memerlukan perhatian dan bimbingan guru semasa mereka menjalani aktiviti pembelajaran dan membuat kerja bertulis. Murid-murid dalam golongan ini biasanya tidak bermotivasi untuk belajar, tidak tahu cara belajar dan cara menyelesaikan masalah di samping tidak berdisiplin semasa belajar. Mereka juga mudah terganggu dan mudah berputus asa. Mereka biasanya kurang cerdas, lambat berfikir dan bertindak serta cepat lupa kemahiran atau fakta yang baru dipelajari. Murid-murid ini memang memerlukan banyak perhatian dan bimbingan guru, sama ada secara kumpulan kecil atau secara individu. Justeru itu, program pemulihan haruslah disediakan untuk membantu mereka mengatasi masalah pembelajaran yang mereka hadapi.

No comments: