Tuesday, December 16, 2008

Kesan Gizi yang Tidak Seimbang

Gizi yang tidak seimbang boleh menyebab pelbagai masalah kesihatan. Seseorang yang mengambil gizi yang tidak seimbang untuk suatu tempoh yang lama akan mengalami malnutrisi. Malnutrisi ditakrifkan sebagai kekurangan nutrien tertentu dalam makanan. Malnutrisi menyebabkan pelbagai penyakit seperti anemia, kwasyiorkor, skurvi, dan riket.

Di Afrika Timur, malnutrisi disebabkan oleh makanan asas yang terdiri daripada ubi, jagung, dan pisang. Lebih daripada separuh kematian bayi (antara umur 1 – 4 tahun) di negara kurang maju disebabkan oleh penyakit kwasyiorkor. Penyakit ini berpunca daripada kekurangan protein. Pesakit kwasyiorkor mempunyai gejala seperti perut buncit, pertumbuhan badan dan otak yang terencat, kehilangan selera makan, badan lemah, dan mungkin membawa maut.

Selain itu, kekurangan vitamin dan garam mineral juga menimbulkan pelbagai kesan dan penyakit. Sebagai contoh, kekurangan vitamin C dalam gizi boleh menyebabkan penyakit skurvi. Seseorang yang menghidap penyakit skurvi biasanya lemah dan sentiasa mengalami sesak nafas. Gusinya membengkak dan mudah berdarah.

Pengambilan garam yang berlebihan dalam pemakanan boleh menyebabkan ginjal gagal berfungsi. Ini menyebabkan tekanan darah tinggi yang merupakan faktor utama untuk serangan sakit jantung dan strok.

Makan terlalu banyak boleh menyebabkan pertambahan berat badan, iaitu kegendutan. Seseorang dikatakan mengalami kegendutan apabila berat badannya adalah 20% melebihi berat badan yang berpatutan dengan ketinggiannya. Kegendutan sering dikaitkan dengan pelbagai penyakit lain seperti darah tinggi, diabetis melitus, dan kanser kolon.

Penyakit diabetis melitus, atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing manis, dialami apabila aras glukosa yang berlebihan daripada julat normal terdapat dalam darah. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan badan kekurangan hormon insulin yang diperlukan untuk menukarkan glukosa berlebihan kepada glikogen di hati.

Osteoporosis ialah keadaan apabila berlakunya pengurangan jisim tulang akibat pengambilan kalsium yang tidak mencukupi dalam gizi. Kekurangan kalsium ini menyebabkan tulang menjadi semakin nipis dan rapuh serta mudah patah terutamanya di bahagian pergelangan tangan, pinggul dan tulang belakang. Jika seseorang memakan makanan yang kaya dengan lemak secara berlebihan, terutama daripada jenis lemak tepu seperti lemak haiwan, tahap kolesterol dalam darahnya akan meningkat. Kolesterol yang berlebihan akan terenap pada dinding arteri dan menyempitkan salur darah. Akibatnya, jantung terpaksa mengepam darah dengan lebih kuat dan akhirnya membawa kepada sakit jantung dan strok. Kajian juga menunjukkan gizi yang mengandungi lemak haiwan yang banyak dan serabut yang sedikit boleh menyebabkan penyakit kanser.

1 comment:

nurul said...

yup btol. oleh itu pastikan anak anda mendapat gizi yang simbang
feel free to visit
http://bestbeautymom.blogspot.com