Tuesday, December 16, 2008

KEMAHIRAN MEMBACA

Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang.

Membaca ialah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.

Kebolehan membaca sangat penting dan ia merupakan satu ukuran kejayaan pelajar-pelajar di sekolah. Ini kerana kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Takrif membaca

Ada banyak huraian berkaitan takrif membaca. Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya.

Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Di samping itu, Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

Jenis peringkat membaca

Terdapat empat jenis peringkat membaca iaitu;

  • Bacaan mekanis (bersuara)
  • Bacaan mentalis / akaliah (kefahaman)
  • Bacaan intensif (mendalam)
  • Bacaan ekstensif (meluas)

No comments: