Daripada catatan Kamu Dewan, tamadun diertikan sebagai kebudayaan, kemajuan, peradaban sesuatu bangsa yang bertamadun, bermakna bangsa yang beradab, bersopan-santun dan berkemajuan. Kalau ditinjau dari segi aspek bahasa, perkataan tamadun berasal daripada kata dasar Bahasa Arab Tamaddana atau Madana yang mengandungi erti pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, membangun sesuatu kawasan hingga menjadi suatu perbandaran.
Dari perspektif Barat, Arnold Toynbee telah mengatakan tamadun ialah satu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat elemen, iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni.
Dari perspektif Islam pula, Dr. Muhammad al-Bahly mengatakan tamadun itu ialah keseluruhan penghasilan atau produktiviti yang menggambarkan nilai keperibadian manusia sama ada berbentuk falsafah, pengetahuan, kesenian, politik, kesusasteraan dan sebagainya.
Secara umumnya, tanah di lembah sungai adalah lebih subur. Setiap tahun sungai-sungai ini akan mengaliri daratan-daratan di sekitarnya dan membentukan satu lapisan tanah yang kaya dengan galian. Misalnya, Lembah Tigris-Eupharates dan Lembah Sungai Nil memiliki tanah lanar. Pembentukan tanah subur di Lembah Hwang Ho berbeza sedikit, tanah subur serta halus yang dipanggil "loess" yang dimendapkan oleh angin-angin yang kencang. Kawasan-kawasan sedemikian amat sesuai untuk bercucuk tanam. Lebihan makanan turut wujud disebabkan teknologi yang bertambah maju. Keadaan ini mendorong pertambahan penduduk seterusnya menggalakkan pengkhususan di dalam bidang teknikal dan vokasional. Tumpuan penduduk di satu-satu kawasan terus menggalakkan kewujudan masyarakat yang lebih dinamik. Idea-idea serta ciptaan-ciptaan baru dapat berkembang dengan mudah.
Sementara itu, kawasan lembah sungai juga mempunyai bentuk muka bumi yang rendah dan rata. Keadaan ini sesuai untuk membina petempatan dan telah menarik ramai orang berhijrah ke kawasan lembah. Misalnya, dikatakan orang Sumeria datang ke Lembah Tigris-Eupharates dari kawasan pergunungan yang berdekatan.
Sistem pengairan yang maju juga merupakan sebab penting yang menggalakkan kebangkitan sesebuah tamadun di kawasan lembah. Sungai boleh membekalkan air untuk pengairan tanam-tanaman. Terusan dan empangan yang telah dibina sejak kira-kira 5,000 tahun dahulu turut memainkan peranan dalam konteks ini dan meningkatkan daya pengeluaran. Kemudahan-kemudahan ini dapat menghasilkan makanan yang lebih banyak untuk menampung pertambahan penduduk yang pesat.
Selain itu, lembah sungai juga mempunyai bekalan sumber-sumber semula jadi yang kaya. Misalnya, sungai kaya dengan sumber makanan yang penting seperti ikan. Lembah Sungai Tigris dan Eupharates pula membekalkan mensiang (sejenis rumput panjang) dan tanah liat yang sesuai untuk pembinaan.
Keadaan iklim juga merupakan salah satu sebab yang penting. Keadaan iklim di kawasan lembah adalah sederhana, iaitu tidak terlalu panas atau sejuk. Hal ini membolehkan aktiviti penanaman dijalankan tanpa banyak masalah. Malah, manusia tidak perlu menghabiskan banyak untuk mengatasi cabaran alam seperti iklim yang terlalu sejuk. Keadaan ini memang menggalakkan kebangkitan sesebuah tamadun.
Sungai-sungai yang menjadi asas kepadatan tamadun-tamadun awal ini pula menjadi alat perhubungan yang penting. Sungai yang menghubungkan petempatan di kawasan hilir dengan kawasan hulu merupakan satu cara pengangkutan yang mudah. Pedagang-pedagang menggunakannya untuk menghantar barang-barang ke kawasan-kawasan lain. Hal ini telah menggalakkan perdagangan dan perkembangan tamadun di kawasan lembah.
Akhirnya lembah-lembah yang dalam akibat hakisan sungai turut bertindak melindungi tamadun-tamadun awal ini daripada serangan-serangan luar. Oleh itu, didapati kebanyakan tamadun awal wujud di lembah sungai
Memandangkan pelbagai kemudahan dan kebaikan telah dibekalkan di kawasan lembah sungai, memang tidak hairanlah kebanyakan tamadun awal manusia bermula di situ. Tamadun-tamadun lain yang tidak wujud di lembah sungai seperti Tamadun Hattites, Tamadun Greek, Tamadun Kush dan Tamadun Olimecs turut memilih tapak yang berhampiran dengan punca air seperti tepi laut dan tepi sungai.
No comments:
Post a Comment