Tuesday, December 16, 2008

PENDEKATAN INDUKTIF

Pendekatan induktif melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulannya. Pada permulaan pengajaran, guru akan memberikan beberapa contoh yang khusus tetapi mengandungi satu prinsip yang sama. Berdasarkan pada contoh-contoh yang diberikan, murid dibimbing memikir, mengkaji, mengenal pasti dan mentafsir maklumat yang terkandung dalam contoh-contoh khusus itu, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulan yang berkenaan.

Kaedah induktif yang berlandaskan pendekatannya, merupakan salah satu kaedah mengajar yang sesuai digunakan dalam pengajaran berbagai-bagai mata pelajaran, khususnya matematik, sains dan bahasa.


Jenis pendekatan induktif

  • Membentuk satu generalisasi daripada contoh-contoh tertentu. Misalnya mencari siri segitiga yang sama daripada pelbagai segitiga.
  • Membentuk satu prinsip daripada ujikaji tertentu. Misalnya mendapat prinsip graviti daripada ujikaji benda-benda dijatuhkan dari atas ke bawah.
  • Membentuk satu hukum daripada pernyataan-pernyataan tertentu misalnya, mendapat hukum tatabahasa daripada membuat analisa terhadap struktur ayat-ayat bahasa.
  • Mendapat satu teori daripada satu urutan pemikiran. Misalnya, memerhati tingkah laku manusia untuk mendapatkan satu teori pembelajaran.


Prinsip-prinsip penggunaan strategi pengajaran secara induktif

  • Sebelum memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara induktif, guru harus menyediakan contoh-contoh yang sesuai, iaitu yang boleh digunakan oleh murid membuat generalisasi. Di samping itu, soalan-soalan haruslah disediakan untuk membimbing murid mendapat kesimpulan yang berkenaan.
  • Guru tidak harus memberi keterangan atau menghuraikan isi pelajaran yang berkaitan dengan kesimpulan. Murid-murid harus dibimbing melalui aktiviti soal jawab untuk mendapat kesimpulan diri sendiri.
  • Jenis contoh khusus yang diberikan haruslah dipelbagaikan, tetapi mengandungi ciri yang sama serta mudah untuk membolehkan murid mengenalpasti.
  • Contoh-contoh khusus yang dipilih haruslah sesuai dan mencukupi.
  • Setelah contoh-contoh khusus yang dikemukakan oleh guru, murid-murid juga digalakkan memberi contoh-contoh yang serupa.
  • Alat bantu mengajar harus disediakan untuk membantu murid mendapatkan kesimpulan yang berkenaan.
  • Kaedah ini haruslah mengikut urutan yang tepat, iaitu daripada contoh-contoh spesifik kepada umum.

1 comment:

PISMP student said...

jazakallah..sangat membantu