Tuesday, December 16, 2008

Gizi Seimbang

Pengambilan makanan yang mencukupi tidak dapat menjamin kesihatan seseorang. Kesihatan yang baik dapat dicapai melalui pengambilan nutrisi yang sesuai di samping bersenam dan berehat. Nutrisi yang baik melibatkan pengambilan gizi yang seimbang, berkhasiat, dan mengikut keperluan individu tertentu.

Gizi seimbang merupakan gizi yang mengandungi karbohidrat, lipid, protein, vitamin, garam mineral, air dan serabut dalam nisbah yang betul untuk memenuhi keperluan badan. Gizi seimbang mesti mengandungi karbohidrat dan lipid yang mencukupi untuk membekalkan tenaga. Protein diperlukan untuk membina tisu baru dan menggantikan sel yang telah rosak atau mati. Vitamin dan garam mineral pula diperlukan untuk pemeliharaan kesihatan badan. Serabut diperlukan untuk merangsang tindakan peristalsis manakala air pula diperlukan sebagai medium tindak balas biokimia dalam badan.

Tidak ada satu makanan pun yang dapat membekalkan semua nutrien makanan yang diperlukan untuk mengekalkan badan yang sihat. Oleh itu, setiap individu perlu makan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang tertentu untuk memperoleh gizi yang seimbang.

Tenaga diperoleh daripada karbohidrat, lipid dan protein. Setiap individu memerlukan tenaga yang mencukupi untuk memastikan semua proses dalam badan seperti pengaliran darah, denyutan jantung, dan pernafasan berjalan dengan lancar dan berterusan. Tenaga juga diperlukan untuk mengekalkan suhu badan pada 37°C di samping melakukan pelbagai aktiviti.

No comments: