Tuesday, December 16, 2008

Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan

Perkembangan seseorang kanak-kanak amat dipengaruhi oleh baka atau keturunan dan faktor persekitaran. Baka atau keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada anak-anak. Ciri-ciri seperti warna kulit, saiz fizikal, warna mata dan lain-lain. Baka diperturunkan melalui gen-gen ibu bapa kepada anak-anak. Baka ini boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Baka juga menetapkan had keupayaan, kemampuan mental kita sama ada pandai atau tidak pandai.

Sebagaimana yang telah dihuraikan dalam teori perkembangan manusia, bahawa setiap individu menunjukkan ciri-ciri perkembangan yang serupa dalam peringkat-peringkat pertumbuhan yang tertentu. Akan tetapi, kadar perkembangan setiap individu, walaupun dalam peringkat pertumbuhan yang sama, tetap berbeza dari segi fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Kajian ahli-ahli psikologi telah membuktikan bahawa tidak ada dua orang individu mempunyai kadar perkembangan yang sama. Mereka berpendapat baka dan persekitaran adalah faktor-faktor yang menyebabkan kadar perkembangan manusia dan wujudnya perbezaan individu di antara satu sama lain.

Pengaruh genetik atau faktor baka kini dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Ia terletak di lokus tertentu pada kromosom, iaitu sejenis benda seni berbentuk panjang yang didapati dalam nukleus sel sperma (jantan) dan juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengandungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Individu yang normal biasanya mempunyai 23 pasangan kromosom. Semasa proses persenyawaan, iaitu percantuman sel sperma (gamet jantan) dengan sel ovum (gamet betina) dengan membentuk zigot yang mula mendapat 23 kromosom daripada ibu bapa masing-masing. Seterusnya, proses pertukaran di antara kromosom daripada ibu dan bapanya berlaku dan menjadi ciri-ciri baka tersendiri, kemudian diwarisi oleh bayi yang akan dilahirkan pada masa kelak. Rajah berikut mengilustrasikan bagaimana proses percantuman dan pertukaran kromosom berlaku dalam proses persenyawaan di antara sel sperma dan sel ovum.

Berdasarkan huraian di atas, gen merupakan penentu utama dalam perwarisan ciri-ciri perkembangan individu serta sesetengah penyakit ibu bapa. Pengaruh genetik terhadap perkembangan manusia dapat diperhatikan ke atas ciri-ciri perbezaan individu dari segi fizikal, mental dan emosi.

Setiap individu, kecuali sesetengah kanak-kanak berkembar, mempunyai ciri fizikal, seperti saiz badan, tinggi-rendah, berat-ringan, bentuk dan warna organ deria serta kemahiran fizikal yang unik. Kajian telah menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya warna rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa.

Kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza dengan rakan sebayanya. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas.

Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang cerdas pintar akan melahirkan anak yang juga cerdas pintar.

Mengikut kajian ahli-ahli psikologi, emosi seseorang individu juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.

Di samping faktor-faktor seperti keluarga, rakan sebaya, status sosio-ekonomi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat, sumber teknologi, guru dan sekolah pula mempengaruhi perkembangan individu dalam setiap peringkat pertumbuhannya.

Institusi keluarga merupakan pengaruh utama terhadap perkembangan manusia. Unsur-unsur institusi keluarga yang pengaruhi perkembangan individu ialah suasana rumah, makanan, asuhan dan status sosio-ekonomi keluarga. Adalah telah diketahui umum, perbezaan suasana rumah, makanan, asuhan dan sosio-ekonomi keluarga melahirkan perbezaan individu mengikut perbezaan kadar perkembangannya. Misalnya;

· Kanak-kanak dilahirkan dalam sebuah rumah yang mesra dan penuh dengan kasih sayang akan mengalami perkembangan emosi yang sihat.

· Makanan berzat dan seimbang akan membantu kanak-kanak memperkembangkan jasmaninya dengan sempurna.

· Kanak-kanak diasuh dan dididik dengan cara yang baik akan mengalami perkembangan potensi, tingkah laku dan emosi dengan sempurna.

· Status sosio-ekonomi keluarga yang baik atau tinggi akan membantu perkembangan intelek dan fizikal kanak-kanak ke tahap optimum kerana keluarga ini berupaya memberi makanan yang cukup berzat dan seimbang serta kemudahan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.

Pengaruh rakan sebaya adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak, khasnya dari perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial. Misalnya; kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya yang rajin belajar akan mendorong perkembangan intelek dan potensinya ke tahap optimum. Kanak-kanak yang bersosialisasi dengan rakan sebaya yang bersopan santun akan menyerap nilai-nilai murni yang positif daripada mereka.


Masyarakat merupakan alam kehidupan manusia. Kebudayaan dan kepercayaan masyarakat yang berbeza mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dalam aspek sosio-emosi, personaliti dan mental. Misalnya:

· Perbezaan nilai hidup membentuk perbezaan falsafah hidup di kalangan individu.

· Perbezaan kebudayaan dan agama melahirkan perbezaan cara hidup serta tingkah laku manusia.

· Masyarakat yang sihat akan mempengaruhi anggotanya dengan membentuk sikap yang sihat seperti bertanggungjawab, rajin berusaha, bermoral, beretika serta kuat beragama dengan nilai kerohanian yang sempurna.

· Masyarakat yang menitikberatkan kebendaan akan mempengaruhi sikap manusia yang mementingkan diri sendiri dan bersikap materialistik, serta mengabaikan nilai kerohanian dan nilai kejiwaan.

· Kebudayaan masyarakat yang menitikberatkan kepada keagamaan akan melahirkan individu yang beriman.

Perkembangan individu pula dipengaruhi oleh pendedahannya kepada sumber teknologi yang terdapat di alam kehidupannya. Sumber teknologi ini merujuk kepada maklumat-maklumat yang diperolehi daripada bahan-bahan bacaan seperti suratkhabar, majalah, iklan, filem, radio, televisyen dan komputer. Seperti yang kita ketahui bahawa pendedahan kanak-kanak kepada sumber teknologi yang sihat akan meningkatkan kadar perkembangan kognitif, emosi dan sosialnya. Sebaliknya, kanak-kanak yang didedahkan kepada sumber teknologi yang berunsur keganasan, kuning atau kezaliman, akan membentuk sikap yang negatif dan personaliti yang tidak diingini.

Guru dan sekolah merupakan pengaruh yang paling penting dalam perkembangan pelajar dari segi fizikal, intelek, emosi dan sosialnya. Guru yang bersifat penyayang dan cekap menguruskan aktiviti pengajaran-pembelajaran dalam bilik darjah akan melahirkan pelajar yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. Iklim sekolah yang kondusif serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pengajaran-pembelajaran akan membantu perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor pelajar.

Guru dan sekolah merupakan agen perubahan dan bersama-sama diberi tugas untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, demi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tugas murni ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diisytiharkan pada tahun 1988.

No comments: