Tuesday, December 16, 2008

HURAIAN TINDAKAN DAN EMOSI YANG TERDAPAT DALAM FILEM QABIL KHUSHRY QABIL IGAM

SINOPSIS QABIL KHUSHRY QABIL IGAM

Kesakitan yang tidak tertanggung semasa bersalin bagaikan lenyap begitu sahaja bila melihat wajah anak yang dilahirkan. Bertambah bahagia bila zuriat tunggal yang dilahirkan rupa-rupanya kembar.

Sayang Ismail (Dato’ Rahim Razali) dan Tijah (Fauziah Nawi) kepada kedua-dua kembar Qabil Khuhsry dan Qabil Igam bagaikan melimpah ruah. Itulah racun. Itulah penawar. Ditatang bagai minyak yang penuh semenjak tapak kaki sebesar ibu jari. Itulah cinta sejati seorang ayah, seorang ibu kepada anaknya.

Sayang Qabil Khushry (Hans Isaac) terhadap adiknya Qabil Igam (Rusdi Ramli) bagai tersimpul semenjak mereka di dalam perut ibu mereka. Manjanya Qabil Igam (Rusdi Ramli) kepada abangnya Khushry pula bagaikan menyerahkan seluruh nyawanya di telapak tangan Khushry. Itulah cinta antara dua beradik kembar tidak seiras ini.

Rani (Ziana Zain) menyimpan hati kepada Khushry semenjak di bangku sekolah. Adiknya Karisma (Erra Fazira) pula memuja Igam meskipun pada awalnya Karisma tidak dapat menerima kenakalan Igam. Lalu cinta mengikat dua keluarga menjadi satu.

Sesungguhnya putaran hidup mereka sekeluarga dipenuhi wangian cinta. Pun begitu kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit. Lalu pelbagai keputusan dan juga pengorbanan terpaksa dibuat. Harapan mereka cuma satu, semoga cinta kembali bertaut mekar, tapi ianya membuatkan mereka semakin terjerut. Setiap langkah yang diatur bagaikan menyiramkan minyak ke istana yang cuba dibina.

Ismail dan Tijah amat mengasihi Igam. Dan kerana kasih, mereka menelan setiap rasa pahit yang mendatang.

Karisma amat mencintai Igam, tetapi kenapa ada orang ketiga…?

Kedua-dua Qabil Khushry dan Qabil Igam tidak pernah meminta untuk dilahirkan bersama, tetapi mereka juga sama sekali tidak ingin dipisahkan. “Tuhan, jangan pisahkan kami…”.


HURAIAN TINDAKAN DAN EMOSI YANG TERDAPAT DALAM FILEM

Watak 1: Qabil Khushry (Hans Isaac)

Emosi yang ditonjolkan oleh watak dalam filem ini antaranya ialah, terlalu sayangkan adiknya (Qabil Igam), terlalu sayangkan isterinya (Rani), dan terlalu mengikut perasaan serta amarahnya.

Qabil Khushry terlalu mengikut perasaan serta amarahnya memukul adiknya tanpa usul periksa serta melemparkan kata-kata hina kepada adiknya apabila dia mendapat tahu adiknya, Qabil Igam telah memukul isteri kesayangannya, Rani. Apabila mengetahui hal sebenar bahawa perbuatan tersebut bukan perbuatan Qabil Igam, dia meminta maaf atas kesalahannya. Perbuatan ini tidak wajar kerana dia telah membuatkan adiknya berasa sedih dan kecewa terhadap abang yang amat disayangi dan dihormatinya.

Qabil Khushry terlalu sayangkan adiknya, Qabil Igam sejak mereka dilahirkan lagi. Kerana terlalu sayangkan adiknya, Qabil Khushry sanggup menggadaikan nyawanya untuk menyelamatkan adiknya ketika diserang dengan serangga tebuan. Selain itu, Asrol telah menembak mati Qabil Igam. Kerana terlalu sayangkan adiknya, Qabil Khushry hendak membalas dendam hendak membunuh Asrol. Untuk mengelakkan sebarang pembunuhan berlaku lagi, pihak polis telah menembak mati Qabil Khushry yang ingin membalas dendam itu. Emosi kasih sayangnya wajar kerana dia terlalu sayangkan adiknya Qabil Igam, tetapi tindakannya dengan ingin membalas dendam tidak wajar, kerana ia menyebabkan kematiannya juga.


Watak 2: Qabil Igam (Rusdi Ramli)

Emosi yang ditunjukkan oleh watak dalam cerita ini ialah terlalu sayangkan abang kembarnya (Qabil Khushry), terlalu sayangkan ibunya (Tijah) dan terlalu cintakan kekasihnya (Karisma).

Qabil Igam terlalu sayangkan abangnya, Qabil Khushry. Disebabkan dia terlalu sayangkan abangnya, dia juga sayangkan kakak iparnya, Rani. Dia sanggup melakukan apa sahaja kerana abangnya. Dia telah menyelamatkan kakak iparnya yang hampir dirogol oleh seorang Cina. Namun, dia telah disalah ertikan dan dituduh telah memukul kakak iparnya. Akibatnya, dia telah dipukul oleh abangnya sendiri, Qabil Khushry. Tindakannya wajar kerana telah menyelamatkan kakak iparnya walaupun telah dipukul oleh abangnya disebabkan salah faham.

Qabil Igam juga terlalu sayangkan ibunya, Tijah. Kerana terlalu ingin bertemu dengan ibunya (setelah mengetahui ibu mengajaknya pulang ke rumah), dia tetap keluar dari tempat persembunyiaannya walaupun dia tahu bahawa dia akan ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak polis kerana telah membunuh Karisma. Dia terlalu berasa bersalah dan insaf dengan tindakan yang dilakukan sebelum ini dan ingin meminta maaf daripada ibunya. Namun hasratnya tidak kesampaian apabila Asrol telah menembaknya menggunakan pistol yang dirampas daripada pihak polis yang menyebabkan dia meninggal dunia sebelum sempat bertemu dengan ibunya.

Kerana terlalu sayangkan kekasihnya, Karisma, dia telah membatalkan perkahwinannya dengan Karisma walaupun pada ketika itu tarikh akad nikah dan persandingan hanya tinggal tiga hari lagi. Dia melakukan tindakan tersebut kerana dia tidak mahu kehidupan Karisma merana akibat penyakit yang sedang dihidapinya iaitu penyakit AIDS.

Tindakannya ini tidak wajar kerana disebabkan tindakannya itu, Karisma telah dikahwinkan dengan Asrol yang panas baran dan kaki pukul setelah dipaksa oleh ibu bapa Karisma (kerana malu dengan orang kampung).


Watak 3: Karisma (Erra Fazira)

Emosi yang ditunjukkan oleh watak dalam cerita ini ialah terlalu cintakan kekasihnya Qabil Igam.

Walaupun dia telah dikahwini oleh lelaki yang tidak dicintainya secara paksa, Karisma tetap mencintai Qabil Igam. Karisma telah bertemu dengan Qabil Igam di sebuah rumah yang ditinggalkan. Tanpa disedari, suaminya, Asrol datang ke tempat tersebut dengan membawa sebilah parang dengan tujuan untuk membunuh Qabil Igam.

Selepas berlaku bergelutan, Qabil Igam tertikam Karisma menggunakan parang yang dibawa oleh Asrol. Akhirnya Karisma meninggal dunia di pangkuan Qabil Igam. Emosinya yang terlalu cintakan Qabil Igam wajar walaupun dia mengetahui Qabil Igam merupakan bekas penagih dadah. Namun tindakannya dengan bertemu dengan Qabil Igam di rumah usang tersebut telah membawa kepada kematiannya.


Watak 4: Rani (Ziana Zain)

Emosi yang ditunjukkan oleh watak dalam cerita ini ialah terlalu kasih dan cintakan suaminya serta sabar walau dalam apa keadaaan pun.

Dia tetap cintakan suaminya, Qabil Khushry dan sentiasa bersama suaminya walaupun dia tahu bahawa adik iparnya bekas penagih dadah dan menghidap penyakit AIDS. Dia tetap sentiasa di samping suaminya untuk memberi sokongan dan dorongan kepada suaminya dalam menempuh kehidupan yang penuh dengan dugaan.

Tindakannya wajar kerana sememangnya tanggungjawab seorang isteri mencintai suami dan sentiasa bersama suaminya walau dalam apa keadaan sekalipun.


Watak 5: Tijah (Fauziah Nawi)

Emosi yang ditunjukkan oleh watak dalam cerita ini ialah sayangkan anak kembarnya Qabil Khushry dan Qabil Igam, terlalu kecewa dengan sikap anak bongsunya, Qabil Igam dan terlalu cintakan suaminya, Ismail (Dato’ Rahim Razali).

Dia terlalu sayangkan anak kembarnya Qabil Khushry dan Qabil Igam. Dia dan suaminya menatang mereka bagai minyak yang penuh, memberikan kasih sayang dan didikan yang secukupnya. Tindakannya wajar kerana sememangnya tanggungjawab seorang ibu memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya walaupun mereka terlalu nakal.

Kerana terlalu cintakan suaminya, Ismail, dan kecewa dengan anak bongsunya Qabil Igam, Tijah seolah-olah telah membuang anaknya kerana telah menyebabkan suaminya meninggal dunia. Tijah terlalu marahkan anaknya, Qabil Igam seolah-olah tidak dapat menerima anaknya itu kembali.

Tindakannya tidak wajar kerana tindakannya itu telah menyebabkan anaknya itu lari membawa diri yang akhirnya menyebabkan pelbagai perkara lain yang tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya, walaupun dia kecewa dengan tindakannya anaknya itu, Tijah perlu memaafkannya serta menasihatinya agar kembali ke pangkal jalan. Namun disebabkan dia tidak dapat menerima anaknya kembali, Tijah tidak dapat bertemu dengan anak bongsunya itu sehingga anaknya itu menghembuskan nafasnya buat kali terakhir.

No comments: