Sunday, January 25, 2009

PANDANGAN AHLI TEORIS BEHAVIORIS

Di antara tokoh-tokoh mazhab behavioris yang terpengaruh dalam pembentukan teori pembelajaran ialah Pavlov, Thorndike dan Skinner. Mereka berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Kebanyakan teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada tingkah laku. Menurut mereka, tingkah laku pelajar boleh diperhatikan dikawal dan diramal. Mereka menekankan bahawa perkaitan gerak balas individu dengan rangsangan adalah sesuatu proses pembelajaran, demi membentuk sesuatu tingkah laku yang baru. Oleh itu, teori pembelajaran ini pula disebut sebagai Teori Rangsangan – Gerak Balas.


Tokoh 1: Ivan Pavlov (1849 – 1936)


Tokoh Teori Pelaziman Klasik Pavlov

Menurut Pavlov, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas bermaksud apa-apa sahaja tingkah laku yang timbul akibat sesuatu rangsangan. Rangsangan pula ialah apa-apa sahaja bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas.

Dalam eksperimen Pavlov, beliau menggunakan seekor anjing untuk melihat perkaitan antara rangsangan dan gerak balas.

Hasil daripada kajiannya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku akibat kaitan antara rangsangan dengan gerak balas. Pembelajaran yang berlaku melalui perkaitan tersebut dinamakan pelaziman dan pembelajaran yang berlaku akibat rangsangan ini dikenali sebagai pelaziman klasik.

Di dalam kajian-kajian pelaziman sepanjang tempoh masa selama hampir 30 tahun, Pavlov mengenal pasti fenomena-fenomena tingkah laku pelaziman. Di antaranya ialah fenomena generalisasi, fenomena diskriminasi, dan fenomena penghapusan.

  • Fenomena generalisasi

Generalisasi bermaksud rangsangan yang sama akan menghasilkan tindak balas yang sama.

  • Fenomena diskriminasi

Diskriminasi berlaku apabila individu bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang tertentu sahaja dan tidak ada rangsangan yang lain.

  • Fenomena penghapusan

Penghapusan berlaku apabila rangsangan terlazim yang tidak disertai dengan rangsangan tidak terlazim.


Implikasi Teori Pavlov ke atas Pengajaran dan Pembelajaran

Guru perlu sedar bahawa;

  • Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas boleh dilazimkan atau dipelajari.
  • Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas dapat diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerak balas, semakin kukuh gerak balas terlazim itu.
  • Motivasi memainkan dalam pembelajaran.


Tokoh 2: J. B. Watson (1878 - 1958)

Tokoh Teori Pelaziman Tingkah Laku

Kajian Watson banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Antara kajian beliau ialah kajian tentang emosi kanak-kanak dengan menggunakan Model Pelaziman Klasik.

Mengikut Watson, tingkah laku manusia ialah sesuatu refleks terlazim (conditioned reflex), iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Dengan perkataan lain, semua pembelajaran adalah pelaziman klasik Watson berpendapat gerakan-gerakan refleks yang mudah seperti bersin apabila hidung gatal adalah sebagai gerakan yang berlaku secara semula jadi, adalah tingkah laku yang diwarisi dan tidak perlu dipelajari.

Watson menjelaskan jenis pembelajaran ini yang dapat jaya berlaku adalah berdasarkan kepada dua prinsip yang utama, iaitu;


  • Prinsip Kekerapan yang menyatakan bahawa lebih kerap gerak balas terhadap rangsangan tertentu berlaku, lebih besar kemungkinan gerak balas yang sama akan berlaku apabila rangsangan itu wujud semula pada masa kelak.
  • Prinsip Tempoh Kebaruan yang menyatakan bahawa semakin tempoh lebih baru kita menggunakan sesuatu gerak balas terhadap sesuatu rangsangan, semakin lebih besar kemungkinan kita akan bergerak balas secara serupa terhadap rangsangan itu, jika ia dimuncul lagi.

Watson berpendapat cara bagaimana pembelajaran berlaku boleh dihuraikan dengan menggunakan proses pelaziman klasik dan prinsip di atas.

Berdasarkan penyelidikannya, Watson menyarankan bahawa guru boleh mempengaruhi pengalaman pembelajaran pelajar dengan menggunakan rangsangan yang akan didedahkan kepadanya dan jenis gerak balas yang akan dihuraikan. Dengan menggabungkan beberapa rangsangan, gerak balas tertentu dapat dikaitkan dengan pelbagai situasi. Dalam proses pengajaran, guru haruslah sentiasa memilih rangsangan yang menyeronokkan.


Implikasi Teori J.B. Watson terhadap Pengajaran dan Pembelajaran

  • Prinsip kekerapan membawa implikasi bahawa pelajar perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran dengan kerap. Ini akan menjamin kebolehan pelajar untuk mengingat kembali konsep-konsep pelajaran dengan mudah.
  • Prinsip kebaruan iaitu setiap pelajar perlu membuat ulangkaji pelajaran dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan.
  • Minat pelajar boleh ditimbulkan atau dihapuskan. Guru yang mengajar dengan pelbagai alat bantu mengajar dan mengelola pelbagai jenis aktiviti akan dapat menimbulkan minat pelajar terhadap proses pengajaran.


Tokoh 3: Edward L. Thorndike (1874- 1949)

Tokoh Teori Pelaziman Operan Thorndike

Teori Pelaziman Operan Thorndike juga dikenali sebagai teori cuba-ralat. Edward L. adalah tokoh yang mengemukakan teori cuba-ralat.


Melalui eksperimen yang dijalankan olehnya, Thorndike berpendapat bahawa pembelajaran berlaku hasil daripada gabungan antara S-R, iaitu stimulus (rangsangan) dan response (gerak balas). Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu, yang disebut sebagai hukum pembelajaran. Hukum-hukum pembelajaran ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.


  • Hukum Kesediaan

Menurut Thordike, hukum kesediaan merujuk kepada kesediaan dan persiapan-persiapan yang perlu ada, sebelum individu itu bertindak, iaitu belajar. Kesediaan dapat dilihat dari tiga aspek yang utama iaitu kesediaan psikomotor, kesediaan afektif dan kesediaan kognitif.

  • Hukum Latihan

Menurut Thorndike, perkaitan antara rangsangan dan gerak balas (R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Seseorang individu akan menguasai kemahiran jika latihan diadakan. Hukum latihan menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui aplikasi dan akan dilemahkan tanpa pengukuhan.

  • Hukum Kesan

Hukum kesan menyatakan bahawa jika sesuatu tindakan diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan, kebarangkalian tindakan itu berlaku akan meningkat dan sebaliknya. Selepas gerak balas terhasil, pertalian antara rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh, jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Kesan yang menyakitkan akan melemahkan pertalian antara R-G.



Implikasi Teori Thorndike ke atas Pengajaran dan Pembelajaran

  • Untuk mempelajari tingkah laku, rangsangan perlu diwujudkan. Guru perlu menyediakan pelbagai sumber pengajaran-pembelajaran yang menarik dan mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku.
  • Konsep hukum kesediaan boleh diperluas untuk digunakan di dalam bilik darjah. Seseorang pelajar perlu bersedia dari segi mental, minat dan sikap dan psikomotor sebelum pembelajaran berkesan dapat berlaku.
  • Latihan dan pengulangan akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran dan ingatan pelajar.



RUJUKAN

Ee Ah Meng (2003). Ilmu Pendidikan: Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas. Selangor:

Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbit Multimedia Sdn.

Bhd.

http://peoplelearn.homestead.com/psychlearncontent2d.html

http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Teori%/20&%20Model%20P&P.pdf

http://elearning-po.unp.ac.id/index.php?option=com_content&view&id=133&Itemid=233

Friday, January 16, 2009

MEWUJUDKAN IKLIM BILIK DARJAH YANG KONDUSIF

Sistem sosial merupakan sesuatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada interaksi dan aktiviti di antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Sehubungan ini, bilik darjah merupakan satu sistem sosial yang mana interaksi berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dan berlandaskan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran.

Ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif
Iklim bilik darjah yang dikatakan baik mengandungi empat ciri utama seperti berikut;

  • Hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya.
  • Kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah.
  • Perasaan kekitaan yang timbul di antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia.
  • Kewujudan satu keadaan yang setiap pelajar melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai.

Iklim bilik darjah yang baik adalah iklim bilik darjah yang terbuka dan akan menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Guru pula gembira bekerja dalam keadaan yang mesra dan sempurna.

Iklim bilik darjah yang terbuka seperti ini merupakan iklim bilik darjah yang kondusif, dan iklim positif ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya, seperti membentuk pelajar dengan sikap dedikasi, berinisiatif, rela bekerjasama, ramah dan mesra, spontan dan kreatif, serta lebih tinggi motivasinya.

Ringkasnya, iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran.

RUJUKAN

Mok Soon Sang (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.
Bhd.

Cadangan agar perkhidmatan Prasekolah yang diberikan itu berkualiti dan memenuhi hak dan keperluan kanak-kanak

Manusia mempunyai pelbagai keperluan iaitu bermula pada peringkat asas hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Kanak-kanak seperti orang dewasa juga mempunyai keperluan tertentu. Boleh dikatakan keperluan kanak-kanak kebanyakannya berkisar di bahagian asas dan kasih sayang seperti mereka lebih suka dihargai dan diberi perhatian yang serius. Perkhidmatan prasekolah merupakan tunggak penting selepas di rumah. Kanak-kanak yang sedang membesar akan lebih terdedah di prasekolah pada sekitar umur 4 hingga 6 tahun. Perkhidmtan prasekolah yang disediakan perlulah berkualiti dan dapat memenuhi hak dan keperluan kanak-kanak supaya generasi yang berkualiti apat dibentuk pada masa akan dating. Secara amnya perkara yang berkaitan dalam keperluan tersebut ialah:

Keperluan asas
Setiap hari kanak-kanak perlu diberi makan dan minum yang mencukupi. Keperluan asas dianggap satu keperluan yang kuat bagi seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak dikatakan tidak akan belajar dengan baik sekiranya mereka belum mendapat sarapan pagi. Oleh itu, perkhidmatan-perkhidmatan prasekolah yang ada masa kini perlulah menitikberatkan mengenai kebajikan kanak-kanak ini. Makanan yang berkhasiat perlu disediakan untuk kanak-kanak prasekolah. Makanan yang berkhasiat bermaksud makanan yang mempunyai kandungan nutrien makanan yang seimbang misalnya seperti makanan yang mempunyai karbohidrat, protein, vitamin dan garam mineral yang lain. Melalui pemakanan yang sihat dan seimbang, kanak-kanak akan menjadi lebih cergas dan bertenaga dalam melakukan sebarang aktiviti harian mereka samada dalam aktiviti yang melibatkan fizikal, mental, emosi dan sebagainya. Waktu makan yang tepat dan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak menjadikan mereka aktif dalam melakukan sesuatu, tidak kira sama ada dalam melakukan aktiviti lasak mahupun penerimaan perkara-perkara dan maklumat yang disampaikan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran ketika di dalam bilik darjah. Kita memerlukan makanan yang seimbang dan air yang mencukupi supaya seseorang individu itu mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang optimum. Kanak-kanak juga memerlukan tidur yang secukupnya kerana ia merupakan keperluan yang penting kerana tidur dapat menghilangkan kepenatan seseorang. Kanak-kanak yang selalu penat tidak dapat menumpukan perhatian yang secukupnya ketika di dalam bilik darjah. Pakaian dan tempat tinggal juga menjadi kepentingan utama bagi menjamin kualiti perkhidmatan prasekolah. Keadaan kawasan prasekolah mestilah sentiasa berada dalam keadaan baik dan terurus. Premis prasekolah yang kondusif merupakan faktor utama dan pendorong perkembangan kanak-kanak secara bersepadu dan seimbang.Premis haruslah selesa dan selamat, riang serta penuh kasih sayang.Persekitaran premis seharusnya mencabar dan boleh mengayakan pengalaman mereka.


Keperluan kasih sayang dan ketegasan
Seseorang individu memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa, kawan dan juga penerimaan dari masyarakat. Setiap orang perlu dikasihi dan mengasihi orang lain. Jika keperluan ini dipenuhi, seorang individu akan berasa bahagia dan dapat meningkat ke satu lagi peringkat yang lebih tinggi. Jika keperluan ini tidak dipenuhi, seseorang itu akan menunjukkan ciri-ciri emosi yang tidak stabil seperti bimbang, tidak bahagia dan kecewa. Dalam konteks persekolahan, guru mesti menunjukkan kepada pelajarnya bahawa dia menyayangi mereka. Perkhidmatan prasekolah yang akan dibentuk perlulah menekankan aspek ini. Tenaga pengajarnya, iaitu orang yang terdekat dengan pelajar perlu memberikan perhatian dan kasih sayang selaras dengan usia kanak-kanak prasekolah.

Keperluan penghargaan atau pujian
Apabila seseorang itu berasa selamat da dikasihi, dia akan mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi. Terdapat dua jenis penghargaan, iaitu penghargaan kendiri dan juga penghargaan dari orang lain.
Penghargaan kendiri merupakan tanggapan atau persepsi seseorang yang positif terhadap diri sendiri. Biasanya, orang yang berjaya akan mempunyai penghargaan kendiri yang positif kerana dia memiliki ciri-ciri seperti keyakinan diri yang tinggi dan sifat berdikari yang baik. Dalam aspek ini, seseoarng individu juga sering memerlukan pengiktirafan dan penghormatan daripada orang lain. Jika sesorang individu tidak menerima peniktirafan ini, dia kan menjadi seorang yang kecewa dan keyakinan dirinya akan menjadi sangat rendah. Dalam aspek di sekolah, guru mesti memastikan bahawa dia selalu membina konsep kendiri yang positif di kalangan pelajarnya dengan memberi pujian dan mengiktiraf kekuatan dan kebaikan mereka. Tugasan dan kerja yang diberi pada pelajar mestilah sejajar dengan kebolehan supaya mereka berasa berkeyakinan dan berkebolehan.

Keperluan keselamatan
Ini merujuk kepada keperluan kedamaian, ketenteraman dan perasaan yang bebas daripada segala jenis ancaman dan ketakutan bagi kanak-kanak. Jika kehendak seseorang kanak-kanak selalu dilayani, dia akan berasa selamat dan akan menjadi seseorang yang mempunyai emosi yang stabil. Dalam konteks persekolahan, guru mesti mengelakkan diri daripada menghina pelajar dan mewujudkan satu suasana yang selamat dan harmonis dalam bilik darjah. Perkhidmatan prasekolah yang akan dijalankan perlu memenuhi ciri-ciri keselamatan yang sepatutnya dan bersesuaian dengana keadaan sekelilingsupaya pelajar dan juga tenaga pengajar berada dalam keadaan baik sepanjang masa.

Keperluan bimbingan dan pendidikan
Dari segi psikologi, kanak-kanak memang mengharapkan sangat tunjuk ajar dan bimbingan. Kanak-kanak akan merasa yakin terhadap kebolehan mereka sekirannya ibu bapa dan guru selalu membantu dan menggerakkan mereka untuk belajar. Guru dan ibu bapa sanggup mengorbankan masa bersama-sama dengan anak-anak untuk tujuan bimbingan pendidikan. Dengan cara itulah kanak-kanak akan menjadi murid yang pandai, berakhlak mulia dan berdaya saing dalam pelbagai bidang. Guru mestilah tahu bahawa titik permulaan pembelajaran kanak-kanak adalah mengikut apa yang mereka tahu dan apa yang mereka boleh buat. Guru hendaklah merancang aktiviti yang bertujuan dan bermakna untuk memberi peluang kepada pengajaran dan pembelajaran di luar dan di dalam bilik darjah.Guru yang berkemahiran juga perlu merancang dan melaksanakan aktiviti prasekolah yang menggalakkan pemupukan kemahiran sosial dan tingkah laku disiplin selain perlu mempunyai pengetahuan tentang psikologi kanak-kanak.Guru perlu mempunyai pengetahuan psikologi kanak-kanak, serta prihatin kepada perbezaan kanak-kanak dari segi keupayaan,minat dan latar belakang serta peka terhadap perubahan dan revolusi dunia pendidikan masa kini. Untuk perkhidmatan prasekolah yang akan dijalankan pihak pengurusan prasekolah perlu mementingkan pendidikan dari segala aspek

Keperluan permainan
Tubuh badan yang sihat memerlukan makanan dan aktiviti pergerakan yang dapat membantu pertumbuhan kanak-kanak. Aktiviti fizikal pada peringkat prasekolah perlu dirancang dengan menyesuaikan tahap umur dan keupayaan kanak-kanak. Aktiviti perkembangan fizikal perlu meliputi pergerakan motor halus dan motor kasar. Bermain sangat pentin bagi perkembangan mental emosi dan sosial kanak-kanak. Semua kanak-kanak suka kepada permainan. Kanak-kanak yang berumur lima tahun dan ke atas, permainan kanak-kanak bertukar kepada bentuk permainan luar yang banyak melibatkan aktiviti perkumpulan rakan sebaya.

Ruang pembelajaran
Pengurusan runag penting dalam pengajaran dan pembelajara di mana ia terbahagi kepada dua iaitu ruang dalam kelas dan juga ruang di luar kelas. Ruang pembelajaran di dalam kelas terbahagi kepada beberapa bahagian seperti ruang pembelajaran bagi kognitif, manipulatif, dramatika dan bahasa.

Untuk luar kelas pula ialah disediakan bagi aktiviti pembelajaran murid secara tidak langsung. Persekitaran luar kelas sebaik-baiknya dapat mendorong murid-murid bebas melakukan pergerakan fizikal. Guru bertindak sebagai pembimbing semasa menjalankan aktivit luar kelas. Peralatan luar kelas seperti buaian, papan gelongsor, temapat main air dan pasir serta tempat bercucuk tanam dapat mendorong aktiviti fizikal di samping meningkatkan daya kognitif murid. Guru mempelbagaikan aktiviti kepada beberapa kumpulan dan disesuaikan dengan minat murid.

Permainan Galah Panjang

Permainan Tradisional
Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ini termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan.

Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.

Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.

Permainan Galah Panjang
Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan
Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Cara Bermain
Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan
Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.

Peranan KBKK dalam merealisasikan Wawasan 2020

Adakah berfikir itu penting? Mengapakah seseorang itu perlu berfikir? Manusia adalah satu-satunya makhluk ciptaan tuhan yang dikurniakan akal untuk berfikir bagi menilai sesuatu itu buruk atau tidak. Semua manusia menjalani proses berfikir. Berfikir merupakan proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan dan membuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat refleksi dan metakognisi terhadap proses yang dialami. Namun begitu, setiap individu mempunyai jenis can cara berfikir mereka yang berbeza.

Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Kemahiran berfikir secara kritis ialah kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan dan kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan dan kelemahan sesuatu hujah, dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang kukuh. Manakala kemahiran berfikir secara kreatif pula ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea hasil. Dalam proses mengkonsepsikan, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan, kedua-dua ‘Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir’ (KBSB) secara kritis dan kreatif perlu digunakan.

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi kini, Wawasan 2020 perlu dijadikan sebagai salah satu penanda aras untuk memacu negara ke arah kegemilangan. Terdapat sembilan cabaran yang perlu dihadapi dengan serius oleh semua lapisan rakyat Malaysia. Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun. Cabaran keempat ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi.

Cabaran kelima yang selalu kita alami adalah untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. Keenam ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Cabaran ketujuh untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh. Kelapan ialah cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Cabaran kesembilan ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Cita-cita dan matlamat negara bangsa telah ditetapkan dalam Wawasan 2020. Wawasan 2020 merupakan kesinambungan usaha dan cita-cita negara sejak zaman kemerdekaan iaitu untuk membina, membangun, dan memupuk sebuah negara yang berteraskan perlembagaan. Negara kita telah merancang untuk menggunakan sumber manusia secara maksimum dalam aktiviti pengeluaran dan pembangunan sepenuhnya akan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan tenaga buruh. Dalam konteks ini, pembangunan sumber manusia bermaksud pembangunan minda seseorang individu dan juga cara pemikiran yang seharusya lebih kritis dan kreatif. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) memainkan peranan yang amat penting dan harus diterapkan dalam minda anak-anak sejak mereka masih kecil lagi. Dengan itu, negara kita pasti mampu melahirkan mayarakat yang mantap dan berguna dalam mengembleng sumber manusia yang berkualiti. Oleh itu, negara kita akan muncul sebagai sebuah negara yang maju dari segi sumber manusia dan juga intelek seiring dengan cabaran Wawasan 2020.

Sistem pendidikan yang dibentuk oleh negara kita merupakan salah satu tunjang utama bagi negara untuk merealisasikan Wawasan 2020. Matlamat asas bagi setiap sistem pendidikan adalah pendidikan untuk perkembangan seseorang individu. Dalam sistem pendidikan yang dibentuk, pelbagai aktiviti dilakukan dengan mempraktikkan KBKK bertujuan untuk memupuk pertumbuhan kanak-kanak dari segi intelek, moral, sosial dan fizikalnya. Objektif matlamat ini adalah untuk meninggikan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Setiap pelajar harus memiliki daya intelek yang tinggi bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi rohani, emosi, jasmani, dan intelek khususnya. KBKK berfungsi untuk meningkatkan potensi pemikiran seseorang individu. Oleh itu, KBKK perlu diterapkan dalam kehidupan seseorang terutamanya dalam proses pembelajaran dan pengajaran agar mereka akan dapat menyelesaikan masalah atau membuat keputusan dengan tepat dan mantap tanpa sebarang kesilapan semasa berfikir serta dapat membentuk para pelajar akan dapat mengemukakan pendapat atau idea-idea baru hasil daripada pemikiran mereka secara kritis dan kreatif. Oleh itu, matlamat Wawasan 2020 untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi cabaran akan terlaksana kelak.

Kurikulum juga merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha menggalakkan penggunaan KBKK dalam kalangan pelajar di sekolah mahupun di sesebuah institusi pendidikan. Kurikulum telah dirancang dan dirangka dengan begitu teliti serta telah diubahsuai mengikut keperluan semasa supaya pelajar mendapat pengetahuan terkini seiring dengan peredaran zaman agar dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan dan juga Wawasan 2020 yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial dan juga intelek. Dengan kurikulum yang sedia telah dirancang dan berkesan dalam pendidikan, ini menunjukkan bahawa negara kita mampu mengharungi kesemua sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 kerana setiap lapisan masyarakat Malaysia telah memiliki KBKK yang begitu mantap.

Kesimpulannya, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) memainkan peranan yang penting dalam usaha merealisasikan sembilan cabaran Wawasan 2020. Ini adalah kerana penerapan KBKK dalam setiap perkara akan merangsang seseorang individu itu untuk berfikir dengan lebih teliti, terancang dan juga terhindar daripada sebarang kesilapan dalam membuat dan memilih sesuatu keputusan yang jitu. Oleh itu, kita perlulah berusaha untuk menerapkan KBKK dalam kehidupan seharian agar dapat melahirkan sebuah bangsa yang gagah menghadapi cabaran Wawasan 2020 dan juga mampu menjadi sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.