Sunday, January 25, 2009

PANDANGAN AHLI TEORIS BEHAVIORIS

Di antara tokoh-tokoh mazhab behavioris yang terpengaruh dalam pembentukan teori pembelajaran ialah Pavlov, Thorndike dan Skinner. Mereka berpendapat pembelajaran adalah berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Kebanyakan teori pembelajaran mereka adalah dihasilkan daripada pemerhatian dan ujian ke atas haiwan seperti anjing, tikus, kucing dan burung dalam keadaan bilik makmal. Ujian mereka ditumpukan kepada tingkah laku. Menurut mereka, tingkah laku pelajar boleh diperhatikan dikawal dan diramal. Mereka menekankan bahawa perkaitan gerak balas individu dengan rangsangan adalah sesuatu proses pembelajaran, demi membentuk sesuatu tingkah laku yang baru. Oleh itu, teori pembelajaran ini pula disebut sebagai Teori Rangsangan – Gerak Balas.


Tokoh 1: Ivan Pavlov (1849 – 1936)


Tokoh Teori Pelaziman Klasik Pavlov

Menurut Pavlov, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas bermaksud apa-apa sahaja tingkah laku yang timbul akibat sesuatu rangsangan. Rangsangan pula ialah apa-apa sahaja bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas.

Dalam eksperimen Pavlov, beliau menggunakan seekor anjing untuk melihat perkaitan antara rangsangan dan gerak balas.

Hasil daripada kajiannya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku akibat kaitan antara rangsangan dengan gerak balas. Pembelajaran yang berlaku melalui perkaitan tersebut dinamakan pelaziman dan pembelajaran yang berlaku akibat rangsangan ini dikenali sebagai pelaziman klasik.

Di dalam kajian-kajian pelaziman sepanjang tempoh masa selama hampir 30 tahun, Pavlov mengenal pasti fenomena-fenomena tingkah laku pelaziman. Di antaranya ialah fenomena generalisasi, fenomena diskriminasi, dan fenomena penghapusan.

  • Fenomena generalisasi

Generalisasi bermaksud rangsangan yang sama akan menghasilkan tindak balas yang sama.

  • Fenomena diskriminasi

Diskriminasi berlaku apabila individu bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan yang tertentu sahaja dan tidak ada rangsangan yang lain.

  • Fenomena penghapusan

Penghapusan berlaku apabila rangsangan terlazim yang tidak disertai dengan rangsangan tidak terlazim.


Implikasi Teori Pavlov ke atas Pengajaran dan Pembelajaran

Guru perlu sedar bahawa;

  • Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas boleh dilazimkan atau dipelajari.
  • Kaitan antara rangsangan dengan gerak balas dapat diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerak balas, semakin kukuh gerak balas terlazim itu.
  • Motivasi memainkan dalam pembelajaran.


Tokoh 2: J. B. Watson (1878 - 1958)

Tokoh Teori Pelaziman Tingkah Laku

Kajian Watson banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Antara kajian beliau ialah kajian tentang emosi kanak-kanak dengan menggunakan Model Pelaziman Klasik.

Mengikut Watson, tingkah laku manusia ialah sesuatu refleks terlazim (conditioned reflex), iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui proses pelaziman klasik. Dengan perkataan lain, semua pembelajaran adalah pelaziman klasik Watson berpendapat gerakan-gerakan refleks yang mudah seperti bersin apabila hidung gatal adalah sebagai gerakan yang berlaku secara semula jadi, adalah tingkah laku yang diwarisi dan tidak perlu dipelajari.

Watson menjelaskan jenis pembelajaran ini yang dapat jaya berlaku adalah berdasarkan kepada dua prinsip yang utama, iaitu;


  • Prinsip Kekerapan yang menyatakan bahawa lebih kerap gerak balas terhadap rangsangan tertentu berlaku, lebih besar kemungkinan gerak balas yang sama akan berlaku apabila rangsangan itu wujud semula pada masa kelak.
  • Prinsip Tempoh Kebaruan yang menyatakan bahawa semakin tempoh lebih baru kita menggunakan sesuatu gerak balas terhadap sesuatu rangsangan, semakin lebih besar kemungkinan kita akan bergerak balas secara serupa terhadap rangsangan itu, jika ia dimuncul lagi.

Watson berpendapat cara bagaimana pembelajaran berlaku boleh dihuraikan dengan menggunakan proses pelaziman klasik dan prinsip di atas.

Berdasarkan penyelidikannya, Watson menyarankan bahawa guru boleh mempengaruhi pengalaman pembelajaran pelajar dengan menggunakan rangsangan yang akan didedahkan kepadanya dan jenis gerak balas yang akan dihuraikan. Dengan menggabungkan beberapa rangsangan, gerak balas tertentu dapat dikaitkan dengan pelbagai situasi. Dalam proses pengajaran, guru haruslah sentiasa memilih rangsangan yang menyeronokkan.


Implikasi Teori J.B. Watson terhadap Pengajaran dan Pembelajaran

  • Prinsip kekerapan membawa implikasi bahawa pelajar perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran dengan kerap. Ini akan menjamin kebolehan pelajar untuk mengingat kembali konsep-konsep pelajaran dengan mudah.
  • Prinsip kebaruan iaitu setiap pelajar perlu membuat ulangkaji pelajaran dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan.
  • Minat pelajar boleh ditimbulkan atau dihapuskan. Guru yang mengajar dengan pelbagai alat bantu mengajar dan mengelola pelbagai jenis aktiviti akan dapat menimbulkan minat pelajar terhadap proses pengajaran.


Tokoh 3: Edward L. Thorndike (1874- 1949)

Tokoh Teori Pelaziman Operan Thorndike

Teori Pelaziman Operan Thorndike juga dikenali sebagai teori cuba-ralat. Edward L. adalah tokoh yang mengemukakan teori cuba-ralat.


Melalui eksperimen yang dijalankan olehnya, Thorndike berpendapat bahawa pembelajaran berlaku hasil daripada gabungan antara S-R, iaitu stimulus (rangsangan) dan response (gerak balas). Thorndike menyarankan bahawa pembelajaran manusia dikawal oleh hukum tertentu, yang disebut sebagai hukum pembelajaran. Hukum-hukum pembelajaran ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.


  • Hukum Kesediaan

Menurut Thordike, hukum kesediaan merujuk kepada kesediaan dan persiapan-persiapan yang perlu ada, sebelum individu itu bertindak, iaitu belajar. Kesediaan dapat dilihat dari tiga aspek yang utama iaitu kesediaan psikomotor, kesediaan afektif dan kesediaan kognitif.

  • Hukum Latihan

Menurut Thorndike, perkaitan antara rangsangan dan gerak balas (R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang. Seseorang individu akan menguasai kemahiran jika latihan diadakan. Hukum latihan menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui aplikasi dan akan dilemahkan tanpa pengukuhan.

  • Hukum Kesan

Hukum kesan menyatakan bahawa jika sesuatu tindakan diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan, kebarangkalian tindakan itu berlaku akan meningkat dan sebaliknya. Selepas gerak balas terhasil, pertalian antara rangsangan dan gerak balas akan bertambah kukuh, jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Kesan yang menyakitkan akan melemahkan pertalian antara R-G.



Implikasi Teori Thorndike ke atas Pengajaran dan Pembelajaran

  • Untuk mempelajari tingkah laku, rangsangan perlu diwujudkan. Guru perlu menyediakan pelbagai sumber pengajaran-pembelajaran yang menarik dan mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku.
  • Konsep hukum kesediaan boleh diperluas untuk digunakan di dalam bilik darjah. Seseorang pelajar perlu bersedia dari segi mental, minat dan sikap dan psikomotor sebelum pembelajaran berkesan dapat berlaku.
  • Latihan dan pengulangan akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran dan ingatan pelajar.



RUJUKAN

Ee Ah Meng (2003). Ilmu Pendidikan: Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas. Selangor:

Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbit Multimedia Sdn.

Bhd.

http://peoplelearn.homestead.com/psychlearncontent2d.html

http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Teori%/20&%20Model%20P&P.pdf

http://elearning-po.unp.ac.id/index.php?option=com_content&view&id=133&Itemid=233

No comments: