Friday, January 16, 2009

MEWUJUDKAN IKLIM BILIK DARJAH YANG KONDUSIF

Sistem sosial merupakan sesuatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam masyarakat. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan dalam bilik darjah bergantung kepada interaksi dan aktiviti di antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Sehubungan ini, bilik darjah merupakan satu sistem sosial yang mana interaksi berlaku melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dan berlandaskan sesuatu strategi pengajaran dan pembelajaran.

Ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif
Iklim bilik darjah yang dikatakan baik mengandungi empat ciri utama seperti berikut;

  • Hubungan yang saling hormat-menghormati di antara guru dengan pelajar-pelajarnya.
  • Kesukarelaan pelajar-pelajar menerima aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan oleh pihak pentadbiran sekolah.
  • Perasaan kekitaan yang timbul di antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang mesra dan bahagia.
  • Kewujudan satu keadaan yang setiap pelajar melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan, termasuk usaha menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai.

Iklim bilik darjah yang baik adalah iklim bilik darjah yang terbuka dan akan menggalakkan pelajar bebas berinteraksi di antara pelajar dengan pelajar; pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dalam bilik darjah. Guru pula gembira bekerja dalam keadaan yang mesra dan sempurna.

Iklim bilik darjah yang terbuka seperti ini merupakan iklim bilik darjah yang kondusif, dan iklim positif ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya, seperti membentuk pelajar dengan sikap dedikasi, berinisiatif, rela bekerjasama, ramah dan mesra, spontan dan kreatif, serta lebih tinggi motivasinya.

Ringkasnya, iklim bilik darjah yang dikatakan kondusif adalah sebuah bilik darjah yang dikelolakan dengan baik, yang elok dipandang dan yang teratur susunannya. Keadaan ini akan memberi kesan cita rasa, semangat, kesejahteraan, dan bahagia kepada pelajar-pelajar yang menggunakannya untuk menjalankan aktiviti pembelajaran mereka. Iklim bilik darjah yang kondusif ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran-pembelajaran.

RUJUKAN

Mok Soon Sang (2008). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.
Bhd.

No comments: